Alhamdulillah, kita melangkah ke tahun 2026 bukan sekadar dengan harapan, tetapi dengan keyakinan yang berasaskan prestasi, fokus yang jelas serta komitmen yang padu untuk terus memacu pembangunan ekonomi Negeri Perak secara tersusun, strategik dan berimpak tinggi.
Tahun 2025 bukan tahun biasa.
Ia adalah tahun PKNPk membuktikan keupayaan pelaksanaan.
Di saat pasaran menunggu isyarat, kita memberi keyakinan.
Sepanjang tahun 2025, Kumpulan PKNPk terus memacu ekosistem pembangunan ekonomi negeri melalui projek strategik berskala besar yang mempunyai impak ketara kepada pembangunan ekonomi negeri Perak, dengan menyediakan pelbagai peluang pekerjaan dan perniagaan kepada warga negeri Perak.
LuMIC 1 – kerajaan Persekutuan telah menyediakan dana bagi melaksanakan kajian kebolehlaksanaan.
Selain itu, momentum LuMIC telah mendorong gerak kerja daripada pelabur awal serta menarik minat pelabur antarabangsa dari Belgium dan Belanda, ini menjadi petunjuk jelas bahawa Perak kini berada di radar pelabur global di dalam sektor perindustrian dan maritim.
Kerja-kerja pembinaan Fasa 2 LMT2 sedang rancak dilaksanakan oleh Kumpulan PKNPk dan dijangka siap pada bulan Mac 2026. Secara keseluruhan, operasi terminal disasarkan untuk dimulakan menjelang Jun 2026 (Suku Kedua) bagi baki 14%, manakala pemindahan sepenuhnya operasi kargo sedia ada dari LMT1 ke LMT2 akan diselesaikan menjelang September 2026 (Suku Ketiga).
Selain itu, projek Silver Valley Technology Park (SVTP) terus digerakkan oleh Kumpulan PKNPk sebagai sebuah lagi projek flagship negeri yang mesra pelabur dan berdaya saing.
Syarikat-syarikat yang telahpun mula beroperasi serta minat awal daripada pelabur-pelabur berpotensi mencerminkan keyakinan pasaran terhadap kesiapsiagaan infrastruktur serta ketegasan dasar negeri Perak.
Bagi projek LuMIC dan SVTP, kehadiran syarikat yang telah mula beroperasi, serta minat awal pelabur tempatan dan antarabangsa, membuktikan bahawa bahawa Flagship No 9 Perak Sejahtera 2030 has succeeded to make investors take notice of Perak; dan more importantly, Perak kini sudah bersedia menerima mereka.
Dalam sektor perumahan dan hartanah pula, pelaksanaan projek Taman Tasek Ardea di Batu Gajah oleh Kumpulan PKNPk membuka lembaran baru di dalam pembangunan projek rumah mampu milik di negeri Perak bagi menjamin kesejahteraan warga Perak.
Dan mungkin tidak ramai yang menyedari,di sebalik projek-projek mega, Kumpulan PKNPk hari ini mengurus dan menyelenggara lebih 150 bangunan dan aset strategik di beberapa buah negeri.
Ini adalah input asas tetapi kritikal yang memastikan kelangsungan operasi, keyakinan pelabur dan imej profesional kerajaan negeri.
Dari aspek Teknologi Hijau, Kumpulan PKNP juga melaksanakan pelbagai inisiatif yang berpotensi menjana pelbagai peluang-peluang pekerjaan dan perniagaan.
Di Sungai Perak kita sedang laksanakan Program Lanjutan Jangka Hayat Hidro (HELP). Program ini melibatkan kerja-kerja naik taraf enam stesen janakuasa hidro dengan kapasiti keseluruhan hampir 650 MW, memastikan operasi berterusan sehingga 40 tahun yang akan datang,di mana inisiatif ini merupakan salah satu komponen utama di dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR). Projek ni penting sebab ianya menjamin bekalan tenaga bersih untuk negeri dan selain pada itu, ia juga meneguhkan kedudukan Perak sebagai peneraju tenaga boleh diperbaharui di Malaysia.
Kumpulan PKNPk proaktif dalam memulihara aset warisan dan membangunkan ruang komuniti di Bandar Meru Raya, Ipoh. Bulatan Sultan Azlan Shah (BSAS) merupakan antara input penting PKNPk dalam memperkukuh imej pintu masuk utama bandar Ipoh. Aktiviti penaiktarafan infrastruktur telah pun dijalankan dengan memasang lampu jalan pintar berkuasa solar (Smart Solar Streetlight) yang sekarang telah beroperasi sepenuhnya.
Penambahbaikan fasiliti di BSAS menjadikan BSAS bersedia untuk menampung penganjuran acara berskala besar di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.
Pembukaan semula Rumah Tradisional Melayu (RTM) Perak di Meru Raya bukan sekadar produk pelancongan baharu, tetapi simbol komitmen PKNPk dalam memelihara warisan negeri sambil menjadikannya pemangkin kepada ekonomi pelancongan budaya,sebagai persediaan menghadapi Tahun Melawat Malaysia 2026.
Selain itu, dalam sektor hospitaliti, Hotel Casuarina @ Meru mencatatkan prestasi yang memberangsangkan sepanjang tahun 2025, mencerminkan keberkesanan pengurusan, peningkatan kepercayaan pasaran dan daya tarikan lokasi strategik Meru Raya.
Prestasi cemerlang ini turut diiktiraf dalam Anugerah Pelancongan Perak 2024. Hotel Casuarina @ Meru telah dianugerahkan "Anugerah Kecemerlangan Hotel Acara Perniagaan", mengiktiraf kemudahan bertaraf dunia serta peranannya sebagai peneraju dalam pelancongan korporat dan MICE (Meetings, Incentives, Conferences, and Exhibitions), manakala Hotel Casuarina @ Kuala Kangsar menerima "Anugerah Landskap Bandar Terbaik" yang mengiktiraf reka bentuk seni bina yang memperindah landskap bandar sambil mengekalkan warisan diraja.
Casuarina Houseboat @ Temengor terus menjadi antara produk pelancongan ikonik yang mencerminkan kekuatan semula jadi negeri Perak. Melalui pengurusan dan penambahbaikan berperingkat, Houseboat Temenggor akan menawarkan kembali pengalaman ekopelancongan yang unik, yang berpotensi menjadi tarikan bertaraf antarabangsa yang memanfaatkan keindahan hutan hujan dan biodiversiti Tasik Temengor.
Di Kuala Kangsar, Kumpulan PKNPk turut memainkan peranan dalam memartabatkan warisan negeri melalui Balai Gambang Cempaka Sari (BGCS). Pengoperasian semula BGCS ini bukan sekadar usaha pemuliharaan,tetapi satu pelaburan strategik dalam mengekalkan seni, budaya dan identiti negeri Perak, sambil membuka ruang kepada aktiviti pelancongan warisan, pendidikan budaya dan ekonomi kreatif tempatan.
Balai Gambang ni dijangka menjadi antara tarikan baru yang memperkukuh kedudukan Kuala Kangsar sebagai bandar diraja dan pusat warisan Perak.
Di samping tu, Kumpulan PKNPk terus komited membangunkan ruang komuniti dan ekonomi rakyat. Bazar Ipoh mencatatkan pencapaian yang membanggakan sebagai pusat tarikan pelancong pada tahun 2025.
Antara inisiatif yang mendapat perhatian ialah Suito Café yang kini berkembang sebagai pusat aktiviti komuniti moden dengan bazar, ruang niaga yang inklusif dan platform yang memberi manfaat langsung kepada Masyarakat melalui pelbagai peluang pekerjaan dan perniagaan.
Ekonomi berasaskan pengalaman juga merupakan suatu agenda penting di negeri Perak.
Di sini, aset ekopelancongan negeri turut diperkasakan dimana Tasik Cermin telah menerima lebih 600,000 pengunjung pada tahun 2025 dan telah menerima anugerah pelancongan oleh Islamic Tourism Centre (ITC). Manakala, di Teluk Batik pulak, resort moden dengan 29 unit penginapan baru akan dibangunkan bermula pertengahan 2026, bagi memenuhi permintaan tinggi terhadap penginapan moden di kawasan Lumut dan Manjung.
Saya juga berasa amat berbangga dengan pencapaian Kumpulan PKNPk yang berjaya mengekalkan status Sijil Bersih selama lima tahun berturut-turut.
Ini mencerminkan pengurusan kewangan yang berdisiplin, yang telus dan yang mematuhi piawaian tadbir urus tertinggi.
Warga kerja Kumpulan PKNPk sekalian,
Tahun 2026 bukan hanya tentang projek-projek yang besar, tetapi juga tentang bagaimana kita menyelaras dan mentransformasikan budaya kita.
Dalam Kumpulan PKNPk, kita tidak lagi boleh buat kerja 'ikut kepala sendiri' atau duduk di dalam kepompong jabatan ataupun anak syarikat masing-masing. We have to play as a team.
Dan saya ingin kita mengambil pendekatan untuk menghayati penciptaan nilai, kepantasan dan kecemerlangan.
Setiap hari, kita kena tanya la diri sendiri: "Apa nilai tambah yang saya bagi pada rakyat Perak hari ni?"
Kalau kerja kita tidak memberi impak pada ekonomi negeri, kalau kita tidak bertanggungjawab dengan amanah yang diberikan kepada kita, makna kata kita belum berjaya lagi.
Dunia di luar sana sedang mengejar kita.
Pelabur dari Belgium, Belanda, China, mereka ini semua mahukan jawapan yang cepat – ini adalah kenyataan. Jangan disebabkan kelewatan oleh sesuatu unit, pihak lain pun terpaksa tanggung kesan sampingannya.
Jom kita buktikan yang warga PKNPk bukan saja hebat dari segi perancangan, bukan saja hebat dari segi pelaksanaan, tapi luar biasa dari aspek budaya kerja.
Negeri Perak, negeri kita, adalah sebuah janji masa depan.
Setiap projek yang kita buat, setiap aset yang kita baikpulih dan setiap ruang yang kita hidupkan menjadi bukti yang kita bergerak bersama untuk hari ni dan hari akan datang.
Marilah kita melangkah ke tahun 2026 dengan tekad yang lebih kukuh, disiplin yang lebih tinggi dan semangat kepimpinan yang berterusan, demi menjadikan Perak bukan sahaja makmur dan berdaya saing, tetapi contoh pembangunan yang lestari, bertanggungjawab dan berimpak tinggi.
