Selama, 13 March 2026 – Koridor Utiliti Darul Ridzuan Sdn. Bhd. (KUDR), anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) secara rasmi memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Majlis Daerah Selama (MDS) hari ini. Kerjasama strategik ini menjadi penanda aras baharu dalam memperkukuh sistem penyelarasan utiliti serta memastikan pembangunan infrastruktur yang lebih terancang, efisien dan mampan di daerah Selama.
Majlis pertukaran dokumen MoU disempurnakan oleh YBhg. Datuk Redza Rafiq Abdul Razak, Ketua Eksekutif PKNPk dan Yang Berusaha Tuan Nor Akmal bin Yang Ghazali, Yang Dipertua MDS bertempat di Selama Inn @ Rumah Rehat Selama. Majlis ini turut disaksikan oleh pengurusan kanan KUDR, barisan Ahli Majlis MDS serta wakil-wakil agensi teknikal berkaitan.
Pemeteraian ini bukan sekadar satu perjanjian formal malah merupakan manifestasi komitmen berterusan Kerajaan Negeri Perak dalam memperkukuh penyelarasan pembangunan utiliti di seluruh negeri. Seperti yang sering ditegaskan oleh YAB Menteri Besar Perak, penyelarasan utiliti yang lebih sistematik amat penting bagi mengelakkan isu pengorekan jalan berulang kali, meningkatkan kecekapan pelaksanaan projek pembangunan serta memastikan kemudahan infrastruktur dapat dinikmati rakyat secara lebih tersusun dan mampan.
Melalui sinergi ini, KUDR bertindak sebagai platform pusat yang mengintegrasikan perancangan utiliti seperti air, elektrik, telekomunikasi, gas dan pembetungan secara lebih sistematik. Pendekatan ini bukan sahaja meminimumkan risiko konflik teknikal di lapangan, malah turut meningkatkan keyakinan pemaju dan pelabur terhadap tadbir urus pembangunan di daerah ini.
YBhg. Datuk Redza Rafiq Abdul Razak menegaskan bahawa KUDR berperanan sebagai pemudah cara utama yang menyatukan pelbagai pihak berkepentingan dalam satu platform penyelarasan yang lebih tersusun.
"Melalui KUDR, kita kini mempunyai instrumen yang tepat untuk memastikan setiap pembangunan infrastruktur rakyat dirancang secara lebih strategik dan terkoordinasi. Kerjasama dengan Majlis Daerah Selama ini merupakan langkah penting bagi memastikan pembangunan negeri Perak terus bergerak seiring dengan perkembangan teknologi serta keperluan masa depan," ujar beliau.
Senada dengan visi tersebut, Yang Berusaha Tuan Nor Akmal bin Yang Ghazali menyifatkan kolaborasi ini sebagai pemangkin kepada transformasi pengurusan koridor utiliti yang lebih profesional di peringkat daerah.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa kerjasama ini akan membantu mempercepatkan proses penyelarasan dan kelulusan projek pembangunan, sekali gus memberi impak positif kepada pertumbuhan ekonomi setempat serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Bagi menyokong aspirasi ini, KUDR turut memanfaatkan teknologi digital seperti Digital Twin, Sistem KUDRAT serta platform pemantauan kerja di tapak OnSite360. Teknologi ini membolehkan pemantauan kerja utiliti dilaksanakan secara masa nyata (real-time) serta membolehkan simulasi perancangan utiliti dilakukan secara digital sebelum kerja fizikal dilaksanakan di lapangan.
Inisiatif ini juga dilihat sebagai satu langkah strategik yang tepat pada masanya, khususnya dalam menyokong potensi pembangunan daerah Selama yang semakin berkembang termasuk sektor ekopelancongan di kawasan ikonik seperti Lata Selama dan Lata Puteh.
Selain itu, daerah Selama turut dijangka menerima limpahan pembangunan ekonomi hasil daripada projek berimpak tinggi seperti Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP) yang bakal merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi di wilayah utara Perak.
Secara keseluruhannya, inisiatif ini selari dengan aspirasi SMART Perak di bawah pelan pembangunan Perak Sejahtera 2030, yang memberi penekanan kepada pengukuhan tadbir urus infrastruktur, pemanfaatan teknologi digital serta pembangunan ekonomi yang inklusif, mampan dan berdaya tahan.

